Sunday, December 11, 2011

Tan Sri Muhammad Ali Hashim



Tan Sri Muhammad Ali Hashim merupakan bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) dan telah menjadi CEO selama lebih 28 tahun (semenjak 1 Januari 1982). Dalam tempoh tersebut, hasil usaha gigih barisan Intrapreneur JCorp (atau Usahawan Amanah JCorp) telah memangkinkan Kumpulan JCorp berkembang sebagai salah sebuah badan korporat utama di Malaysia yang menerajui pasaran dalam beberapa bisnes strategik (sila lihat mengenai JCorp).

Muhammad Ali juga merupakan Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Pengerusi Biro Korporat DPIM dan Pengerusi Waqaf An-Nur Corporation Berhad (sebelum ini dikenali sebagai Kumpulan Waqaf An-Nur Berhad).
Waqaf An-Nur Corporation Berhad merupakan syarikat jaminan terhad yang bertanggungjawab bagi mengurus ekuiti JCorp dalam syarikat-syarikat tersenarainya yang telah diwaqafkan.
Pada 3 Ogos 2006, JCorp telah mewaqafkan saham bernilai RM200 juta (Nilai Aset Bersih) kepada Waqaf An-Nur Corporation Berhad. Ianya merupakan langkah pertama yang diambil dalam transformasi JCorp kepada “Perbadanan Waqaf” pertama di dunia, Insya Allah.
Pada 2007, JCorp telah sekali lagi mewaqafkan saham miliknya di dalam syarikat TPM Management Sdn Bhd yang memiliki premis membeli belah Larkin Sentral di Johor Bahru, bernilai RM50.3 juta (Nilai Aset Bersih). Larkin Sentral membentuk sejarah sebagai pusat membeli belah pertama yang diwaqafkan sekaligus meningkatkan nilai terkumpul Waqaf Korporat oleh JCorp menjadi RM250 juta.
Konsep Perbadanan Waqaf JCorp merupakan satu strategi dalam menjayakan misi korporatnya, “Jihad Bisnes”.

Saturday, December 10, 2011

Dr. Zaharuddin bin Abdul Rahman


Merupakan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, di samping kolumnis untuk Majalah I dan juga beberapa majalah popular lain di Malaysia serta merupakan penasihat syariah bagi beberapa syarikat terkemuka. Beliau mendapat kelulusan B.A Usuluddin dari Universiti Malaya dan M.A Syari’ah dari University Yarmouk, Jordan dan pengajian peringkat PhD di University of Wales, United Kingdom. Ustaz Zaharuddin giat menulis buku-buku tentang sistem kewangan dan ekonomi Islam, dan beliau juga pemilik laman web popular www.zaharuddin.net.

Hajjah Rohani binti Datuk Mohd Shahir



Hajjah Rohani binti Datuk Mohd Shahir dilahirkan pada tahun 1959 di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti Sydney, Australia dan menamatkan ijazah dalam bidang Ekonomi, pengkhususan perakaunan pada tahun 1981.

Kini, Hajjah Rohani menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Eksekutif di HIJRAH Strategic Advisory Group Sdn Bhd (HSAG). Syarikat ini telah ditubuhkan pada tahun 1998 dan menawarkan khidmat latihan, nasihat dan perkhidmatan dalam lapangan Perbankan Islam, Kewangan, Takaful serta Pengurusan Kewangan Islam. Di samping itu, HIJRAH juga merupakan pelopor dalam membangunkan modul latihan yang berasaskan kepada Perancangan Kewangan Islam. Syarikat ini menawarkan latihan yang berupa kemahiran yang meliputi Motivasi Kewangan, Pembangunan Kumpulan Islamik serta kursus Pembangunan Diri.
Menyentuh sudut pengalaman, Hajjah Rohani telah memulakan karier dalam lapangan perbankan selama 9 tahun. Seterusnya, beliau menerima tawaran sebagai Pengurus Perakaunan dan Kawalan Kewangan di American Express. Seterusnya, beliau menjadi Pengarah Urusan di syarikat pemgurusan aset Islam. Di samping itu, Hajjah Rohani turut menjadi Pengerusi Eksekutif HIJRAH Unit Trust Management sebelum terlibat dengan HIJRAH Strategic Advisory Group Sdn Bhd.

Saturday, November 19, 2011


Seminar ‘Jihad Bisnes’ Tan Sri Muhammad Ali Hashim

Syarikat-syarikat milik orang Islam sewajarnya melaksanakan jihad bisnes untuk memastikan perniagaan yang diusahakan dapat terus diwarisi oleh generasi akan datang.
Tokoh Korporat, Tan Sri Muhammad Ali Hashim merupakan bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) berkata, pelaksanaan jihad bisnes juga akan meningkatkan pegangan syarikat-syarikat tersebut dalam senarai jenama-jenama besar korporat dunia.

Menurut beliau, berdasarkan rekod lebih 90 peratus perniagaan orang Islam adalah syarikat milik keluarga, namun daripada jumlah itu hanya 10 peratus yang diwarisi sehingga kepada generasi ketiga. ”Situasi ini berbeza dengan perniagaan keluarga di Barat, Jepun dan Korea, yang mana syarikatnya berkembang sehingga menjadi organisasi antarabangsa,” katanya.

Jelas beliau, mengambil kira perkembangan perniagaan semasa yang semakin kompleks, syarikat-syarikat milik Islam memerlukan usahawan yang memiliki pemikiran futuristik. Ini penting bagi menyediakan laluan perubahan bagaimana melaksanakan perniagaan, tambahnya. Muhammad Ali berkata, model-model perniagaan tersebut sudah ada, cuma terpulang kepada pemilik perniagaan untuk mengguna pakai atau meniru amalan terbaik menjalankan perniagaan sedia ada.

Bekas peneraju Johor Corporation itu berkata, beliau mengasaskan jihad bisnes untuk meningkat nilai tambah dan kekayaan sebagai jambatan ekonomi masyarakat Malaysia melalui mengembangkan saiz perniagaan bagi manfaat semua kaum di negara ini. Beliau yang turut memperkenalkan Wakaf Korporat menyifatkan amalan perniagaan itu telah memainkan peranan signifikan semasa zaman kegemilangan Islam dahulu.

Menurutnya, agenda perniagaan apabila digandingkan dengan pembaharuan institusi menerusi konsep wakaf korporat diyakini dapat dijadikan benteng utama kekuatan ekonomi masyarakat Islam. Menerusinya, ia mampu mencapai matlamat keseimbangan kuasa ekonomi supaya lebih adil dan tidak ekstrem atau berat sebelah dan eksklusif serta memihak hanya kepada yang berada, berpengaruh dan kaya-raya.

”Bagaimanapun, konsep perniagaan ini sudah tentu dan bukan eksklusif untuk peniaga Islam sahaja,” ujar beliau. Institusi wakaf korporat harus diperluaskan sehingga berjaya menerajui beberapa perniagaan strategik. Tambahnya, menerusi institusi wakaf ketirisan dan kebocoran hak milik dapat diatasi dan pegangan hak milik akan dapat dilangsungkan turun-temurun di samping menambah nilai harta kekayaan untuk kepentingan besar jangka panjang bangsa dan umat.

Seorang tokoh korporat yang sangat berjaya yang berupaya membuktikan agama Allah dan sunah Rasul-Nya adalah sesuai untuk setiap zaman dan di mana-mana keadaan sekali pun. Matlamat beliau juga ingin melihat ekonomi dan perniagaan sebagai satu cabang jihad dalam jiwa orang Melayu, InsyaAllah peniaga-peniaga Melayu akan bangkit menguasai ekonomi.